Friday, December 7, 2012

Home » » Andai Ini Jumaat Terakhirku

Andai Ini Jumaat Terakhirku

 Dalam kantuk yang amat, mataku merenung jam dinding. Tidak ku pasti jarum jam menunjukkan angka berapa dan dengan tenang aku menarik kembali selimut. Nikmat rasanya setelah semalaman berhempas pulas membaiki 'javascript' yang kesudahannya aku mengalah. Tambahan pula cuaca di luar suhunya di bawah 10℃ menambahkan lagi nikmat berada di bawah 'futon'. Tapi sungguh silap benar keputusan untuk kembali lena, tidak ku tahu aku menempa bahana!

 Masih terpisat-pisat di katil, ku capai cermin mata seraya merenung ke arah jam di dinding. Mata ku gosok berkali-kali tanda tidak percaya. Pukul 1???!!! Masha Allah bukan hari ni bukan hari Sabtu, bisikku menenangkan diri sendiri. Separuh tidak percaya aku terlepas solat Jumaat yang biasanya dibuat 1200-1230! Menyesal sungguh menyesal hanya kerana keputusan ku menyambung lena aku terlepas solat Jumaat! Rugi kerana di antara 2 khutbah Jumaat itulah waktu mustajabnya berdoa, pada solat Jumaat itulah kami saudara sesama Muslim di sini berkumpul. 

 Ah, menyesal pun tiada guna! Tanpa berlengah ku ambil air sembahyang biarpun sejuk menyengat ke tulang. Ya,itulah mujahadah sepanjang musim sejuk! Air di paip turut menurun suhunya sekaligus meliatkan seluruh sendi untuk berjalan ke bilik air lantas mengambil wuduk! Tidak kurang juga ada rakan yang sengaja bersolat di akhir waktu supaya tidak perlu memperbaharui wuduk untuk solat seterusnya. 

 Tapi andai kita dapat melihat dosa-dosa kecil yang keluar tatkala berwuduk, andai kita dapat melihat kita akan mendekati syurga sedikit demi sedikit tatkala berwuduk, pasti manusia itu akan berebut-rebut untuk berwuduk sepanjang waktu biar apa pun keadaannya. 

 Perasaan kesal masih menghantui diri. Memujuk diri untuk meneruskan siang yang berbaki kurang lebih 3 jam, ku capai kembali komputer riba meneruskan usaha membetulkan 'javascript' yang terbantut sejak semalam. Tiada 'mood' rasanya untuk keluar berjalan-jalan apatah lagi dengan 'cuaca satu angka' di luar. Silap-silap makin menjadi demam ini dibuatnya. 

 Lebih 2 jam berusaha akhirnya siap juga 'javascript' itu aku perbetulkan. Kesalan di dada masih berbaki namun kepuasan membetulkan 'javascript' sebentar tadi membuatkan ku melupakan sejenak keperitan berjaga hingga ke pagi mengusahakan berbaris-baris kod yang entah di mana silapnya. 

 Seusai bersolat Asar, perutku memulas kasar mendendangkan irama yang tidak ku pasti apakah 'genre'nya. Ah, senyaplah kau perut! Terlalu malas rasanya untuk ke dapur. Kesejukan cuaca dan kemalasan memang gabungan yang sangat ideal sehinggakan perut yang tidak menjamah apa-apa sejak semalam pun bisa tunduk dek gandingan 'dua sekawan' tersebut. 

 Dalam kemalasan tersebut, ku lihat pianoku lebih menyelerakan. Sambil memainkan irama kesukaanku, aku menyanyi-nyanyi kecil melayan perasaan. Lagu demi lagu, dari genre klasikal Beethoven hinggalah ke muzik kontemporari Adnan Abu Hassan semuanya ku mainkan dan hanya bila aku sedari, suasana di balik jendela berubah jingga. Lembayung senja di ufuk Barat pun melabuhkan layarnya menandakan sudah masuk waktu Maghrib. 

"Allahu akbar, Allahu akbar!"

 Kedengaran sayup bunyi azan dari telefon bimbitku. Segera aku pergi bersiap menyahut seruan Illahi takut jika bertangguh aku akan terus hanyut dengan dunia di tepi piano itu. Tidak berani rasanya membiarkan Raja kepada segala raja menunggu tika Dia menyeru aku untuk mengadap. Andai aku boleh takut dan resah terlewat untuk ke kelas, mengapa aku tidak berasa takut seandainya aku terlambat untuk bertemu Penciptaku? Akulah hamba, fikirku. Mengapa aku sanggup berlengah bertemu dengan Yang Maha Kuasa, yang mampu mengubah apa sahaja dalam kurang dari sekelip mata. Monolog aku sendiri sambil berjalan ke bilik air.
 Ku lipat sejadah setelah menitip kepada Yang Esa sesudah solatku. Penuh kemalasan aku melangkah ke dapur mencelur spaghetti untuk dibuat spaghetti goreng mamak, lauk buat pemalas sepertiku. Jika tidak mengenangkan jasad yang menagih haknya sedari tadi memang aku tidak akan berganjak dari dalam 'futon' yang umphh selesa yang amat itu. 

 Sejuk sangat agaknya hingga air mata pun tidak mampu menitis semasa memotong bawang yang terkenal dengan ejen pengalir air mata paling berkesan sepanjang zaman. Bahan-bahan seperti serbuk cili, serbuk kari, kicap segalanya sudah tersedia. Hanya spaghetti yang masih tidak melembut memberikan aku masa untuk membasuh pinggan mangkuk yang agak menimbun di singki dapur sempit milikku. 

 Sesekali aku mengerling ke arah periuk tempatku merebus spaghetti. Dalam dua tiga minit lagi rasanya boleh lah aku mula memasak, fikirku. Sementara menunggu aku mengambil keputusan untuk memetik piano usang di ruang tamu. Belum sempat habis satu 'scale' B harmonik kegemaranku aku terasa gegaran. Teruja kerana aku tahu ini gempa bumi, ya gempa bumi! Pelik tetapi itulah kebenarannya. Teruja campur takut sedikit setiap kali berlakunya gempa. Dalam 5 saat segalanya kembali normal. Aku mengambil keputusan untuk kembali ke dapur.  

 Tidak sampai dua langkah kakiku melangkah, terasa gegaran yang lebih kuat. Jauh lebih kuat daripada yang pertama. Terasa bagai aku di dalam kotak yang digoncang oleh makhluk gergasi. Ah, bukannya masa untuk berimaginasi! Bentak ku memarahi diri. Aku pelik kenapa aku tidak berasa panik sedikitpun. Gegaran terasa semakin kuat dan lebih lama dari kebiasaan. Ku urut dada mengucap sejenak. Astaghfirullahalazim. 

 Terlupa dapurku masih menyala! Nyaris-nyaris aku rentung dalam kebakaran jika tidak tangkas ke dapur memadamkan api dapur. Bumi masih bergegar dengan dahsyatnya. Aku fikir adakah kiamat? Serentak di kepala ku terbayang kesilapan diri hari ini, sudahlah tertinggal solat Jumaat, kelas pun terlepas. Al-Quran jangan cerita, memang langsung tertinggal dek memikirkan 'javascript' yang entah apa-apa itu. Aku fikir aku sibuk tapi masih sempat mengemaskini status di Mukabuku dan berkicau di laman Twitter. Dan sepotong ayat dari Al-Quran pun tidak ku baca hari ini walhal aku tahu apa kebaikannya membaca surah al-Kahfi di hari Jumaat. 



 Sekelilingku masih galak bergegar, suasana cemas di luar rumah menarik perhatian aku untuk berlari ke luar. Kelihatan jiran-jiranku memandang langit, membuatku  berkata "adakah benar-benar kiamat sedang terjadi?", "bakal runtuhkah langit?". Terkenang aku ibu dan ayah nun jauh di seberang laut,  terkenang dosa terhadap manusia yang mungkin di luar pengetahuanku. Timbul di benak hatiku meminta kepadaNya untuk membenarkan aku hidup sehari lagi untuk melangsaikan dosaku dengan manusia sekelilingku, seandainya hari ini ialah hari terakhir aku. Mula keluar manik-manik jernih dari kelopak mata menyesali hari ini dan hari-hari yang sebelumnya yang lagha dan jauh dari-Nya. 

 Dua minit berlalu sejak gegaran, akhirnya reda. Syukur ku ucapkan. Andai Allah tidak gegarkan bumi sebentar tadi, mungkin aku masih hanyut dengan kod-kod 'skrip jawa' itu. Mungkin aku masih lagi leka mendendangkan lagu memetik piano tanpa mengendahkan Al-Quran di rak tepi meja. Dengan gigil masih tak sudah, air mata ku seka, ku capai Al-Quran, ku sapu sedikit debu pada Al-Quran yang turut menjadi tanda lamanya tidak ku sentuh. 

 Umpama mendapat satu tamparan dahsyat, aku terkesima dengan ayat dari al-Mulk. Surah yang sepatutnya aku baca setiap malam sebelum lena. 

  "Patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Tuhan yang pusat pemerintahanNya di langit itu: menunggang-balikkan bumi menimbus kamu, lalu bergegarlah bumi itu dengan serta-merta (melenyapkan kamu di bawahnya)?"(Al-Mulk:16)

 Hari-hari aku dilalui dengan hanya rasa sedikit ketakutan pada-Nya. Hari-hari aku masih berasa yakin adakah esok buatku. Sungguh manusia itu sifatnnya lupa, sekali sekala di hadiahkan 'pelempang sakti' pun ada baiknya. Cumanya manusia reaksinya pelbagai. Mungkin satu pelempang tidak mencukupi. Mungkin sedar setelah sekali dilempang esoknya lupa penangan 'lempangan' semalam. Mana tahu. 

"krrkkorkrkr gkggog"

 Perutku berkeroncong lagi mintak diisi. Sudah-sudahlah menyeksa perasaan sendiri. Jasad yang meminta hak nya sejak semalam harus dilayan jua, fikirku. Serentak kaki ku melangkah, aku berazam yang esok dan hari-hari seterusnya bisa menjadi lebih baik dari hari ini ! ! Andai aku perlu di lempang setiap hari pun aku sanggup asal jangan diri ini melupai kerdilnya diri ini dibanding dengan Yang Maha Esa.





Nota:
Petang tadi, dalam waktu 1740 waktu Jepun, berlaku satu gempa bumi yang kuat berskala Richter 7.3. Amaran tsunami dikeluarkan di kawasan Miyagi, Ibaraki, Iwate dan beberapa kawasan lain. Namun menjelang jam 1930, amaran tersebut ditarik balik. 



Berikut merupakan situasi ketika gempa berlaku

http://www.youtube.com/watch?v=zGNHmJSZZkU&feature=share 

Alhamdulillah segalanya masih dalam keadaan selamat cuma masih dalam keadaan berjaga-jaga sekiranya ada gempa susulan. 

5 comments:

A.B.M said...

Lai, keep writing ok! :')
*kesat air mata*

Encik F said...

rijal stylo rupanya cik lai...mengapakah wajah lain benar...mengapa? mengapa?

lain hingga aku tidak tersapa..hanya terpinga-pinga meneka siapa empunya nama...

Anonymous said...


iwan,you've inspired me!

jaga diri yea! jangan sampai sakit sebab tak makan.

rindu kamu!

7LapisLangit said...

sasuga lai..mashaAllah
kipap de gud werk!

7LapisLangit said...

sasuga Lai~ MashaAllah!
kipap de gud werk..

Post a Comment